UTUSAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Atas dasar prihatin terhadap nasib siswazah menganggur, Pemuda Barisan Nasional (BN) sekali lagi tampil menganjurkan Karnival Kerjaya Pemuda BN 2011 atau BN Youth Job Fair.
Karnival ini bakal menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan.
Pengerusi program itu, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, karnival tiga hari dari 18 hingga 20 November ini adalah edisi keenam dan akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
"Karnival ini pernah diadakan di Kedah, Pahang, Melaka, Sabah dan Perak. Rentetan kejayaan sebelum ini, Pemuda BN sekali lagi tampil menganjurkannya di PWTC pada November ini dengan penyertaan lebih 600 majikan dari seluruh negara.
"Susulan penganjuran di lima negeri pada Julai lalu, sebanyak 24,000 jawatan sudah diisi," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran karnival itu oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Menara Datuk Onn hari ini.
Justeru, Nazir Hussin yang juga Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda BN memberitahu, pengunjung karnival kali ini dijanjikan dengan peluang pekerjaan yang berkualiti oleh syarikat termasuk Petronas, Proton, Maybank dan Airod.
Tidak ketinggalan jelasnya, karnival itu akan disertai oleh pelbagai agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional.
"Mereka yang berminat menyertai tentera, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut terlibat dalam karnival ini bagi merekrut anggota baru.
"Ini adalah karnival pekerjaan terbesar pernah diadakan di Malaysia dan saya berharap ia mampu mengurangkan kadar pengangguran kalangan siswazah dan juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.
Bukan itu sahaja tambah beliau, mereka yang mahu menukar kerja juga dialu-alukan mengunjungi karnival itu.
Bagi majikan yang ingin menyertai karnival kerjaya ini bolehlah menghubungi sekretariat karnival di talian 03-41427777.

No comments:
Post a Comment