Saturday, 14 July 2012

Pemuda, Puteri Umno - Fahami Erti Perjuangan

KLUANG - Anggota Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno diingatkan supaya mengetahui erti mewarisi perjuangan di dalam parti dan
bukan hanya mengetahui erti mewarisi kepimpinan, demi memastikan Umno kekal relevan pada masa akan datang.
  
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sebagai pewaris kepada parti keramat itu, semua anggota Pemuda dan Puteri perlu mengetahui perbezaan antara perjuangan dan kepimpinan memandangkan Umno sendiri merupakan sebuah parti perjuangan.
  
"Sesuatu yang berbeza antara kepimpinan dan perjuangan adalah sesiapa sahaja boleh mewarisi kepimpinan tetapi kalau dia tidak menghayati erti perjuangan, maka kepimpinan itu tidak akan mempunyai makna.
  
"Hidup atau mati Umno ditentukan pewaris-pewarisnya, sama ada pewaris-pewaris ini mampu untuk mewarisi perjuangan. Adakah mereka yang memimpin sekarang ini juga mampu mewariskan perjuangan atau meninggalkan sesuatu yang tidak dapat diwarisi sebagai perjuangan oleh pewaris-pewaris," katanya.
  
Mohd Fuad yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Pahat berkata demikian ketika merasmikan persidangan Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kluang, di sini malam tadi. Hadir sama Ketua Umno Bahagian Kluang Md Jais Sarday.
 
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata anggota Pemuda dan Puteri dalam masa yang sama juga perlu mengubah kekuatan mereka dengan mempersiapkan diri dengan ilmu, hujah dan keperibadian untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus menjadi pilihan generasi muda.
  
Katanya kekuatan anggota Pemuda dan Puteri pada masa kini tidak lagi semata-mata bergantung pada perkataaan Umno itu sendiri, sebaliknya menerusi kekuatan dalaman mereka.
  
"Sebab itu pada saya, apa yang disebut sebagai 'BN pilihan orang muda' tidak memberikan apa makna sekiranya anak muda tidak tahu makna untuk menjadikan BN sebagai pilihan anak muda.
  
"Kita tidak boleh bersifat defensif. Keberanian kita mesti berasaskan kepada hujah, ilmu dan keperibadian kerana dokongan inilah yang mampu menarik anak muda untuk terus menyokong perjuangan anak muda," katanya. - Bernama

Sumber : Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment