Wednesday, 28 November 2012

Wakil Pemuda Harap Usul Perkuat Semangat

KUALA LUMPUR - Perwakilan Pergerakan Pemuda Malaysia berharap Perhimpunan Agung Umno kali ke-66 akan menyuntik semangat semua ahli menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).Ketua Pemuda Bahagian Kluang, Johor, Md Norhalim Md Amin berkata, perhimpunan  kali ini bakal menyaksikan banyak usul yang akan menaikkan semangat khususnya kepada sayap Pemuda.

Menurutnya, usul yang akan dibahaskan bakal menjadi aspirasi dan seterusnya memberi amaran PRU13 adalah penentuan segala-galanya.

“Di Kluang sudah ada 35,000 pengundi daripada kalangan pemuda. Jadi jumlah itu pastinya akan bertambah apabila mendengar amanat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya yang ditemui ketika pendaftaran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Katanya, perhimpunan tahun ini dijangka hangat dengan isu-isu semasa memandangkan PRU13 tidak lama lagi.

“Pemuda sentiasa bersama pucuk pimpinan dan harapan kami, aspirasi Presiden jadi azimat buat kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Jerlun, Kedah, Mohd Khairi Ahmah turut tidak melepaskan peluang bersama-sama perwakilan yang lain walaupun terpaksa berkerusi roda.

“Saya datang dengan semangat untuk sama-sama berjuang. Inilah perhimpunan terakhir  sebelum pilihan raya.

“Walaupun saya tidak sihat kerana mengalami angin ahmar, tapi saya tidak mahu ketinggalan mendengar amanat Presiden dan semua yang akan membahas,” katanya.

Katanya, sudah pasti usul-usul yang akan dibawakan lebih kepada PRU13.

“Saya yakin Umno boleh memberikan yang terbaik kepada negara ini dan pemerintahan Barisan Nasional tidak wajar diragui," katanya.

Sumber : Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment