Friday, 7 December 2012

Bukti Cinta Pemandu Teksi Kepada BN

KLUANG - Persatuan Pemandu Teksi Daerah Kluang bersedia menjadi penyampai maklumat bagi pihak kerajaan menerusi program transformasi yang dijalankan Barisan Nasional (BN).

Menurut Pengerusi Persatuan Pemandu Melayu daerah Kluang, Mustakim Jalil, bagi menyokong segala transformasi yang dijalankan kerajaan, ahli-ahli dalam persatuannya bersetuju meletakkan pelekat lambang 1Malaysia dan 1BN di teksi dan kereta sewa masing-masing.

“Tindakan yang dilakukan oleh kami ini turut diikuti Persatuan Kereta Sewa Pakatan yang mana mereka semua bergabung untuk menjayakan program tersebut.

“Usaha ini dilakukan bertujuan membalas balik apa yang telah diberikan kerajaan pada masa ini kepada kami dengan pelbagai kemudahan dan perancangan rapi untuk membantu pemandu teksi serta kereta sewa seperti kami ini.

“Apa yang penting sekarang ini adalah kami yang selalu bertemu dengan pelbagai golongan masyarakat pada setiap hari sepatutnya menggunakan kesempatan itu untuk menyampaikan maklumat.

"Segala perancangan kerajaan dalam membawa negara untuk terus maju pada masa akan datang, perlu dijelaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui di Perhentian Bas dan Teksi daerah Kluang, di sini, kelmarin.

Mustakim turut menyatakan,  semua ahli persatuan sudah bersiap sedia menjadi sebahagian tenaga kerja untuk membawa semua pengundi dari tempat berkumpul ke tempat membuang undi pada waktu PRU nanti.
Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa bersiap sedia sekiranya bantuan mereka diperlukan oleh bahagian pengurusan Umno bahagian Kluang.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno bahagian Kluang, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, usaha yang dilakukan persatuan teksi itu seharusnya mendapat perhatian mereka yang berkaitan.

Katanya, tidak semua persatuan dapat memberikan komitmen seperti itu demi membantu kerajaan agar terus kekal memerintah.

“Walau bagaimanapun, kita akan merancang dengan sebaik mungkin jika memerlukan semua pemandu teksi dalam PRU13 nanti agar semua pergerakan pengundi berjalan lancar serta mengikut jadual dan terancang,” katanya.

Sumber : Sinar Harian Online

No comments:

Post a Comment